Lelaki dengan Azoospermia ada harapan punyai
zuriat
KUALA LUMPUR: Pelbagai masalah pada sistem reproduktif lelaki boleh membawa kepada kegagalan menghasilkan
zuriat dan salah satu daripadanya ialah Azoospermia.
Azoospermia ialah satu keadaan jarang di mana air mani langsung tidak mengandungi sperma yang perlu bagi persenyawaan. Kira-kira 10 hingga 15
peratus lelaki di dunia dan satu peratus lelaki di Malaysia mengalaminya.
Ia merupakan salah satu daripada masalah kaum lelaki yang menghalang penghasilan zuriat selain daripada masalah lain yang lebih lazim seperti
kegagalan ereksi atau mati pucuk, kekurangan sperma, sperma tidak subur dan kekurangan hormon kesuburan.
Keadaan ini amat sukar diterima terutama bagi lelaki yang baru berumahtangga tetapi ramai mungkin tidak mengetahui punca masalah itu dan sama
ada ia boleh dirawat, kata Pakar Obstetrik dan Ginekologi Pusat Pakar Wanita Srivari Dr K. Thanikasalam.
JANGAN SALAHKAN ISTERI
Apabila isteri tidak mengandung, biasanya suami akan menyalahkan isteri mereka mandul atau tidak subur tanpa menjalani pemeriksaan doktor
terlebih dahulu, katanya.
Lazimnya 30 peratus daripada kegagalan mendapatkan cahaya mata berpunca kerana masalah pada suami dan selebihnya disebabkan masalah pada
sistem reproduktif isteri.
Menurut Thanikasalam, pasangan yang gagal mendapatkan cahaya mata sekurang-kurangnya setahun selepas berkahwin boleh merujuk masalah mereka
ke Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) atau pakar-pakar ginekologi swasta di mana pasangan suami isteri dikehendaki
menjalani beberapa ujian untuk mengetahui siapa yang bermasalah dan rawatan baginya.
Dr Thanikasalam berkata lelaki biasanya susah untuk menerima hakikat yang mereka alami Azoospermia dan ini adalah kerana kurangnya pendedahan
dan penjelasan tentang keadaan ini.
"Kaum lelaki boleh mengalami tekanan emosi yang teruk apabila mendapat tahu yang mereka mengalaminya namun jika mereka mengetahui lebih
banyak maklumat tentang Azoospermia, pasti ia dapat membantu menguatkan semangat mereka," katanya.
Jika anda disahkan mengalami Azoospermia ini, apa yang sebaiksebaiknya perlu dilakukan ialah terus berusaha untuk mendapatkan rawatan melalui
pakarpakar di hospital kerajaan dan swasta serta janganlah berasa tertekan.
PUNCA-PUNCA AZOOSPERMIA
Azoospermia berlaku disebabkan oleh dua faktor, faktor pertama ialah kemalangan dan jangkitan kuman manakala faktor kedua pula disebabkan
keturunan.
"Faktor pertama biasa berlaku sekiranya seseorang lelaki itu mengalami kemalangan atau terjatuh sehingga menyebabkan testis yang menghasilkan
sperma gagal menghasilkan sperma seperti sebelumnya.
"Jangkitan virus jika lambat dirawat akan menyebabkan ia merebak ke spermatogenesis (sel yang menghasilkan sperma) dan menjejaskan
fungsinya," kata beliau.
Beliau berkata faktor kedua adalah apabila Azoospermia disebabkan oleh faktor genetik iaitu keturunan di mana biasanya ia disebabkan gen ibu
dan bapa yang membawa masalah itu.
"Jika faktor kedua dikenalpasti sebagai puncanya, maka lelaki yang mengalami Azoospermia ini tidak mempunyai sebarang harapan atau peluang
untuk mendapat anak dan hanya kuasa tuhan yang boleh membantunya," kata beliau.
RAWATAN UNTUK AZOOSPERMIA
Pertamanya lelaki terbabit perlu menjalani ujian untuk menentukan sama ada air maninya mengandungi sperma.
"Kemudian kita akan berikan dia ubat dan vitamin yang merangsang pengeluaran hormon yang bertindak menghasilkan sperma," katanya.
Selepas mengambil ubat itu lelaki terbabit perlu menjalani ujian air mani sekali lagi dan jika testis dalam keadaan normal biasanya keputusan
ujian air mani kedua akan menunjukkan adanya kandungan sperma walaupun sedikit.
Namun begitu, menurut Dr Thanikasalam jika testis suami itu bermasalah keputusan ujian kedua biasanya akan tetap sama iaitu masih tiada
sperma dikesan dalam air maninya.
"Jika ini berlaku, biasanya suami akan dikehendaki menjalani satu pembedahan kecil di testisnya iaitu sedikit tisu akan diambil dari
testisnya untuk diuji di makmal sama ada sperma dihasilkan atau tidak oleh testis si suami tadi," katanya.
Menurut beliau, jika sperma dapat dikesan dalam tisu testis suami, maka Azoospermia mungkin berlaku disebabkan saluran yang membawa sperma
untuk dicampur dengan air mani itu tersumbat atau rosak.
"Kita akan lakukan pembedahan untuk membetulkan kembali saluran itu dan selepas pembedahan dilakukan, biasanya penghasilan sperma akan
kembali normal," katanya.
Jika hasil daripada pembedahan biopsi ini tidak dapat mengesan sebarang kewujudan sperma, biasanya tiada apa rawatan yang boleh dilakukan
untuk membetulkannya.
Menurut Dr Thanikasalam saintis perubatan di seluruh dunia masih menjalankan kajian untuk mengenalpasti punca kerosakan kekal pada testis
namun ia masih belum ditemui.
APA YANG PERLU DIELAKKAN
Selain itu, golongan lelaki juga harus mengelak daripada memakai seluar yang ketat kerana ini akan menganggu proses semulajadi penghasilan
sperma dalam testis.
"Testis memerlukan suhu sesuai iaitu 3 hingga 5 celcius kurang daripada suhu badan normal untuk menghasilkan sperma yang baik dan mampu
bersenyawa dengan ovum," katanya.
Selain itu, menurut beliau amalan pemakanan yang sihat dan tidak merokok pasti menjadikan seseorang lelaki itu sihat secara seimbang daripada
segi fizikal dan seksual.
"Setiap orang harus mendapatkan pemakanan yang cukup, tidur yang cukup dan senaman yang cukup bukan sahaja untuk memastikan kesihatan sistem
seksual malah sistem badan mereka supaya berfungsi dengan baik," katanya. BERNAMA
|